Saturday, February 5, 2011

Pergaulan utamakan ilmu, ibadah

PERGAULAN baik akan mencetuskan rasa kasih sayang dan perasaan baik sangka sesama Muslim, terutama remaja sementara pergaulan yang terlalu bebas dan kurang baik akan menimbulkan kebencian dan prasangka yang kurang baik antara satu sama lain.
Secara umumnya, pergaulan dapat diertikan sebagai perihal bergaul, percampuran dan persahabatan yang baik antara seseorang dengan yang lain. Malah, lebih daripada itu, matlamatnya untuk mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni, bekerjasama dan meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat. 
Kajian menunjukkan pergaulan baik di kalangan remaja akan membentuk sahsiah remaja ke arah kecemerlangan, sementara corak pergaulan yang kurang sihat boleh mencetuskan dan menjerumuskan remaja ke lembah kehinaan. Pergaulan kurang sihat juga boleh menyumbang ke arah penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, seks bebas dan pelbagai gejala sosial.

Kalangan ahli psikologi berpendapat, pengaruh pembentukan personaliti remaja berkembang dipengaruhi tiga faktor iaitu pewarisan, pengalaman (pembelajaran) dan budaya. Personaliti keseluruhan seseorang remaja hasil daripada gabungan ketiga-tiga faktor ini.


Melalui pergaulan baik di kalangan remaja akan mewujudkan remaja Malaysia berilmu, berakhlak mulia, berbudaya luhur dan berketerampilan berasaskan pembangunan belia dan remaja yang seimbang dalam semua bidang kehidupan. Di samping itu, mereka akan memiliki semangat patriotik dan budaya kerja cemerlang demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Pergaulan bebas tanpa batas boleh menjerumuskan ke arah gejala sosial dan jenayah yang akhirnya menyusahkan ibu bapa dan mencemarkan nama baik keluarga. Etika pergaulan mesti diutamakan. Berfikir dulu sebelum melakukan perkara tidak baik yang boleh merosakkan masa depan diri sendiri.

Remaja yang bergaul dengan baik dapat memperbaharui azam dan iltizam sebagai pewaris dan pengisi pembangunan negara serta hala tuju negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Remaja digalakkan menjalin hubungan silaturahim sesama mereka dengan batas aurat dan menjaga nilai keagamaan. Ini penting bagi menjadikan mereka remaja berdaya tahan serta dapat mengelakkan musuh dan anasir yang kurang sihat mengancam kehidupan sosial mereka.

Justeru, pergaulan baik di kalangan remaja juga akan mempergiat usaha ke arah pembentukan generasi muda yang dinamik, kreatif, berwawasan, mempunyai semangat keusahawanan dan berbudaya tinggi berasaskan penguasaan ilmu, kemahiran dan teknologi maklumat (IT).

Melalui pergaulan baik dan terancang dapat menyemarakkan aktiviti remaja melalui latihan tidak formal, gaya hidup sihat dengan menekankan kesedaran pendidikan sepanjang hayat sejajar tuntutan menuju ke arah negara maju bertunjangkan kekuatan agama, moral dengan ciri ketimuran.

Imam al-Ghazali menyatakan pergaulan baik itu mesti ramah dan bahagia dalam bergaul dan sentiasa ingatkan Allah. Selain itu, ilmu dan ibadah mesti diutamakan, kerana tiada yang lebih baik selain daripada dua perkara berkenaan.

Menurutnya lagi, ada tiga jalan yang dapat ditempuh untuk berbudi luhur, iaitu berbudi luhur kerana tabiat, kerana latihan dan kerana pelajaran. Dalam pergaulan juga tunjukkan budi luhur yang baik.

Lantaran itu, Drs Sidi Ghazalba menyatakan pergaulan terpuji mesti selari dengan kebudayaan Islam iaitu meliputi cara berfikir dan cara menghayati takwa yang menyatakan diri dalam seluruh aspek kehidupan sekelompok manusia, membentuk masyarakat dalam suatu ruang dan waktu. Oleh itu, pergaulan terpuji mesti mengikut peraturan digariskan Islam serta tidak melanggar batas tatasusila.

Remaja disarankan mengekalkan pergaulan terpuji dengan mengamalkan akhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi, suci hati, merendah diri, menepati janji dan sentiasa memuliakan rakan. 


Akhlak seorang Muslim mesti dijaga setiap masa. Ia sifat terpuji yang terpancar dalam kehidupan seharian. Dalam pergaulan menjaga tutur kata sangat diutamakan. Pendidikan akhlak dapat meningkatkan sifat kasih sayang sesama manusia dan mengajar menjauhi sifat menghina orang lain, sombong, dusta dan jahat yang boleh menjatuhkan nama baik, kesopanan diri dan maruah.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Belum sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga mengasihi saudaranya sebagaimana mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagi remaja yang sudah jauh terpesong daripada nilai murni perlu sedar bahawa mereka sepatutnya mengamalkan nilai yang baik ini dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup yang lurus. Dalam pergaulan, apa yang paling penting mengenali siapa rakan kita. Pilihlah kawan yang mempunyai sifat yang baik.

Akal dianugerahkan Allah dapat membantu ke arah kebaikan dalam pergaulan. Hanya dengan akal dan iman, pergaulan di kalangan remaja dapat memandu remaja ke arah akhlak dan berbudi bahasa terpuji. Elak mengeluarkan kata-kata kotor seperti mencarut, memaki hamun ketika bergaul.

Tidak dinafikan pergaulan banyak menyumbang ke arah gejala sosial. Remaja yang tidak bergaul mungkin akan menyebabkan mereka antisosial dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Hubungan baik sesama rakan sebaya sentiasa mementingkan silaturahim berpandukan akhlak dan budi bahasa dapat mengawal perkara tidak diingini.

Ironinya, kejayaan seseorang remaja dalam hidup banyak bergantung pada ilmu dan kemahiran serta luasnya pergaulan di sekolah, di luar sekolah, dalam masyarakat dan dengan orang yang baru dikenalinya. Bagi orang yang pandai bergaul pintu masyarakat sentiasa terbuka baginya.
  • Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu







  • http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Pergaulanutamakanilmu_ibadah/Article/index_html

    0 Your opinion:

    Introduction