Friday, September 30, 2011

Perkahwinan Sumber Kekayaan~~


Assalamu’alaikum

Pernah kita terdengar orang tua-tua kata, kahwin nanti murah rezeki. Alasan itu juga kadang-kadang mereka gunakan untuk galakkan golongan muda berkahwin awal. Ada sebahagian dari kita pula ambil endah tak endah akan nasihat, mungkin dah lali telinga. Tertanya pula kita, dari sumber mana pula mereka boleh katakan sebegini? Mungkin dari pengalaman mereka memerhati keluarga sanak-saudara dan jiran tetangga sekeliling sepanjang umur mereka. Agaknya.

Namun sebenarnya sedar atau tidak, ini adalah apa yang Allah sampaikan kepada kita dalam al-Quran. Pada mereka yang membaca al-Quran hanya dalam bahasa Arab mungkin terlepas untuk sedar akan ayat ini. Mereka yang ingin tahu akan maksud pula akan baca juga terjemahan dalam bahasa ibunda, maka untunglah golongan ini.

Dalam surah An-Nur ayat ke 32 terjemahannya:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.

And marry the unmarried among you and the righteous among your male slaves and female slaves. If they should be poor, Allah will enrich them from His bounty, and Allah is all-Encompassing and Knowing.

Dalam ayat diatas, Allah bukan sahaja menggalakkan golongan bujang ini berkahwin, malah Allah janjikan pula akan rezeki jika mereka ini miskin. Janji Allah, adakah kita tidak yakin?

Ya, mungkin masih ada yang bersikap was-was. Kita mana tahu apa yang akan berlaku masa hadapan. Mungkin lepas kita kahwin kita akan banyak komitmen, tanggungan isteri seperti makanan dan pakaian, tambahan pula perlu sediakan rumah, tidak lagi boleh berkongsi sewa dengan rakan. Pinjaman kereta sekarang pun sudah membebankan. Banyak yang kita fikir. Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui.

Bagus pada mereka yang meletakkan sepenuh hati dan keyakinan akan apa yang berlaku pada ketentuan Allah. Mereka ini kuat akan tawakkal mereka pada Allah. Sungguh hebat kuasa tawakkal ini.

Kajian dari Ohio State University

Tujuan artikel ini sebenarnya untuk menunjukkan bukti dari kajian bahawa apa yang Allah nyatakan dalam ayat ke 32 tadi adalah benar. Kajian ini dijalankan oleh saintis Amerika, Professor Jay Zagorsky dari Ohio State University di Columbus, US. Kajian keatas lebih 9000 orang seluruh Amerika dari 1985 hingga 2000 ini mendapati:

Kekayaan mereka yang berkahwin adalah 93% lagi banyak dari mereka yang kekal membujang.

Mereka yang bercerai setelah berkahwin telah berkurang harta kekayaan sebanyak 77%.

Mereka yang bujang dan terus membujang mempunyai kekayaan yang meningkat secara konsisten tetapi perlahan iaitu kurang $2000 dari mula kajian hingga ke $11000 selepas 15 tahun.

Mereka yang telah berkahwin dan kekal berkahwin (tanpa cerai) meningkat kekayaan secara mendadak dengan purata $43000 selepas 10 tahun.

Manakala mereka yang berkahwin dan kemudian bercerai menunjukkan trend kekayaan meningkat secara perlahan semasa kahwin dan kemudian merudum ke angka purata $3500 sebelum bercerai. Kemungkinan pasangan ini telah bercerai terlebih dahulu sebelum secara rasmi mendapat status cerai, ini dapat menerangkan kenapa kekayaan merudum sebelum akhirnya bercerai. Kekayaan kemudian meningkat kembali setelah bercerai tetapi setelah 10 tahun purata kekayaan hanyalah $10000.

Professor Jay Zagorsky akhirnya menyatakan dalam kajian tersebut bahawa beliau tidak pasti kenapa perkahwinan dapat membantu dalam membina harta kekayaan. Tetapi bagi kita orang Islam, kita hanya mampu tersenyum kerana itulah janji Allah, dan Allah telah buktikan.

Syukur Alhamdulillah kerana kita ini hidup sebagai orang Islam.



sumber

0 Your opinion:

Introduction