Tuesday, September 6, 2016

Penat Berubah?


Hari ini sedang aku membelek dan membaca pos yang ada di facebook, aku ternampak beberapa orang rakan share artikel berkenaan "Safiey dah penat jadi baik".

Aku beristighfar di dalam hati dan berasa sedih sebab Safiey membuat keputusan untuk kembali kepada kehidupannya yang lama. Sebelum aku bersangka buruk, aku pun buka blog tersebut untuk baca apa yang diluahkan oleh Safiey.

Astaghfirullahal'azim.

Aku berasa amat sangat sedih. Punca Safiey kembali ke jalan lama disebabkan oleh apa yang orang katakan pada beliau. Ya, aku sangat faham bahawa beliau penat sebab mulut orang memang tak boleh ditutup dan terlalu nak mengecam orang. Aku berasa amat kasihan sekali dengan Safiey.

Ketahuilah bahawa berhijrah ke jalan Allah itu adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah kerana hambaNya kembali untuk mentaatiNya.

Hidayah itu tidak semua orang boleh dapat, hanya orang yang dipilih sahaja yang menerima hidayah dari Nya. Jadi, janganlah engkau sia-siakan hidayah yang Allah berikan kepada kamu.



Untuk berubah dan istiqamah memang tidak mudah, kerana kau perlu hati yang kuat untuk menempuhi apa jua pun dugaan yang datang. Kerana syaitan itu tidak mahu melihat kau kembali ke jalan yang benar, kau perlu kuat untuk melawan hasutan syaitan.


Sesungguhnya syurga Allah itu mahal, perjalanan menuju keredhaanNya itu pahit,terkadang diuji keimanan, diragut keikhlasan. Namun belilah dengan harga mujahadahmu.


Aku juga pernah melalui fasa-fasa sukar semasa aku memulakan hijrah aku. Tapi, aku pekakkan telinga dengan apa yang orang kata yang bukan-bukan. Aku buka mata hati untuk mendengar nasihat yang baik-baik.

Ya, kita hanya manusia biasa yang sering melakukan kesilapan kita bukan maksum daripada melakukan dosa. Andai kata hampir terkandas, cepat-cepatlah kita memohon keampunan dan kembali kepada Allah.

Kita boleh untuk menoleh kebelakang untuk jadikan ia sebagai pengajaran dan kaki kita harus tetap melangkah ke hadapan dalam landasan hijrah ini.

Sebenarnya aku juga kecewa dengan stigma masyarakat (segelintir) yang tidak memberi sebarang sokongan atau semangat kepada orang yang baru berhijrah. Kenapa perlu untuk berkata-kata negatif, kecam atau mengutuk?

Bukankah sepatutnya kita memberi sokongan, galakan kepada mereka agar mereka terus kuat dan istiqamah.

Buat mereka yang ingin berubah atau hjirah ke jalan Allah, janganlah sesekali kita berasa penat sampaikan kita berasa putus asa dengan jalan hijrah ini. Jika kita terasa ingin berputus asa, kita ingatlah nikmat-nikmat yang Allah dah berikan kepada kita.. Sungguh tak ternilai banyaknya.


Bergaullah dengan mereka yang dapat membantumu untuk terus istiqamah.
Pilihlah jalan untuk ke syurga bukan ke neraka.



Jadi, masih belum terlambat lagi untuk kita berubah ke arah kebaikan selagi ajal belum menjemput.


0 Your opinion:

Introduction